Popular Posts / Paling Ramai Pembaca
WANG
SIMPANAN ANDA DI BANK MAKIN KURANG SETIAP HARI WALAUPUN ANDA TAK
KELUARKAN. TAK PERCAYA? Pernahkah anda mendengar tentang Hukum 72?
Hukum 72 digunakan dalam bidang kewangan untuk mengira berapa lamakah
jangkamasa yang diambil bagi seseorang untuk menggandakan wangnya,
seperti berapa lamakah untuk RM100 anda menjadi RM200.
Cara pengiraannya mudah. Anda hanya perlu tahu berapakah pulangan yang
diberi oleh tempat di mana wang anda disimpan. Contohnya, akaun
simpanan biasa atau al-wadiah memberi pulangan kira-kira 1% setahun.
Maka angka 72 dibahagi dengan 1, jawapannya ialah 72. Wang anda akan
mengambil masa 72 tahun untuk berganda jika disimpan dalam instrumen
ini!
Akaun semasa atau al-mudharrabah pula memberi pulangan
kira-kira 3% setahun. Maka 72 dibahagi dengan 3, jumlahnya ialah 24.
Maka di dalam instrumen ini, wang anda akan mengambil masa hanya 24
tahun untuk bertambah 2 kali ganda! Ini bererti 48 tahun lebih cepat
daripada akaun simpanan biasa!
Bagaimana pula jika wang anda
disimpan dalam amanah saham yang memberi pulangan lebih kurang 8%
setahun? 72/8 = 9. Hanya 9 tahun diperlukan untuk menggandakan wang anda
melalui instrumen ini. Hebat bukan? Semakin tinggi pulangan yang
diberikan oleh simpanan anda, semakin cepatlah ia berganda-ganda.
Hukum 72 juga digunakan untuk kita menganggarkan bilakah masanya wang
kita akan susut nilainya sebanyak 50%. Bahagikan angka 72 dengan kadar
inflasi di negara kita. Sekiranya kadar inflasi adalah 4%, maka 72/4 =
18. Ertinya dalam masa 18 tahun lagi wang RM100 anda akan jatuh nilainya
bersamaan dengan RM50 sekarang!

Masihkah anda ingat harga
sebiji kuih karipap 10 tahun yang lalu? Hanya 30 sen bukan? Tetapi
sekarang, anda hanya boleh membelinya dengan harga 40 sen sebiji.
Ertinya, wang kita telah susut nilainya sebanyak 25% dalam jangkamasa
lebih kurang 10 tahun sahaja!
Maka, adalah lebih bijak
sekiranya anda memilih instrumen simpanan yang memberikan anda kadar
pulangan yang lebih daripada kadar inflasi. Sekiranya anda menyimpan
wang anda sebanyak-banyaknya di dalam akaun simpanan biasa yang memberi
pulangan hanya 1% setahun, sedangkan kadar inflasi adalah 4% setahun,
ini bererti wang anda bukannya semakin berganda, tetapi semakin menyusut
nilainya sebanyak 3% setahun!
Tetapi janganlah pula anda
terlalu ghairah untuk mendapatkan pulangan wang yang terlalu tinggi.
Perlu diingat, dalam pelaburan, semakin tinggi pulangan, ertinya risiko
kerugian yang anda hadapi juga adalah lebih tinggi. Pastikan instrumen
yang anda pilih adalah yang bersesuaian dengan “risk profile” anda.
Jangan kerana ingin kaya cepat, anda terperangkap dalam skim cepat kaya!
Berhati-hatilah dalam memilih instrumen simpanan atau pelaburan anda.
Pastikan ianya mematuhi syari'ah dan undang-undang negara.